Search This Blog

Thursday, April 2, 2020

Peranan Petugas Farmasi di belakang kaunter menangani Pandemik Covid 19


Mungkin ramai yang tidak tahu apakah tugas kakitangan farmasi semasa situasi wabak COVID-19 ini. Yang jelasnya memang kami tidak kelihatan membuat saringan COVID-19 mahupun turut serta dalam mengambil sample ujian bagi individu yang disyaki mendapat jangkitan. Kami juga tidak berurusan dalam menguruskan jenazah individu pesakit COVID-19. Maka kami tidak lah memakai PPE macam tyvex mahupun yang overall seperti doktor, jururawat dan Pembantu perubatan.

Habis tu pegawai farmasi (PF) dan Penolong Pegawai Farmasi (PPF) buat apa?

Ramai yang mungkin tidak sedar, perkhidmatan kesihatan sebenar berjalan seperti biasa. Maka bertugas di kaunter pendispensan ubat adalah seperti biasa. Malah klinik extended hour (Hingga 10pm) di beberapa klinik kesihatan juga berjalan seperti biasa. Yang berkerja di Hospital perkhidmatan kaunter farmasi pula berterusan 24jam dan tiada hentinya. Maka kami juga jumpa pesakit. Setiap hari jumpa pesakit. Maka risiko untuk dijangkiti juga sama seperti perawat dan para jururawat yang membuat saringan dan memeriksa pesakit. Oleh itu kami juga perlu memakai PPE seperti face mask dan sarung tangan. Jika bertugas di fever centre(clinic) kami gunakan face shield jika bekalan ada.

Selain daripada itu, yang paling aktif dilakukan sekarang adalah usaha untuk limitasikan pesakit untuk datang ke klinik mengambil bekalan ubat-ubatan mereka. Strategi yang pertama adalah untuk membekalkan ubat untuk bekalan 2 bulan kepada semua pesakit kronik. Maka jika kami berikan bekalan 2 bulan kepada pesakit, maka pegawai yang bertanggungjawab membeli ubat-ubatan akan semakin kerap membeli ubat bagi top up semula bekalan dalam stor. Stor kami Kebanyakannya kecil-kecil sahaja, tak boleh simpan bekalan banyak-banyak.

Seterusnya ada klinik yang mengambil inisiatif proaktif dengan memanjangkan tarikh temujanji pesakit secara terus. Mereka mengaktifkan konsultasi secara atas talian seterusnya memanjangkan tarikh temujanji pesakit dan mengeluarkan preskripsi baru kepada pesakit. Seterusnya semua preskripsi baru tersebut akan diberikan kepada farmasi untuk kami (PF & PPF) pula menghubungi pesakit dan menawarkan perkhidmatan pengambilan ubat menerusi perkhidmatan tambah nilai (Value Added Services: VAS) .

Antara perkhidmatan yang ditawarkan adalah:

• Pengambilan Ubat Melalui Pos (UMP) : Ubat disediakan dan dibungkus rapi OLEH PF & PPF. Kemudiannya ubat akan dihantar melalui kaedah pos laju ke rumah pesakit. Pesakit perlu bayar perkhidmatan ini kepada Pos Malaysia sebanyak RM5.30 (Pesakit tidak hadir ke klinik langsung)

•Sistem Telefon dan ambil : Jika pesakit memilih perkhidmatan ini, ubat mereka terus disediakan terlebih dahulu. Pesakit kemudiannya diberikan arahan tarikh dan masa pengambilan. Pesakit yang hadir akan terus ke kaunter farmasi dan berikan identiti. Pesakit tidak perlu menunggu akan terus dapat ubat yang telah disediakan. (Pesakit hadir ke klinik tetapi masa disingkatkan)

• Locker 4 U : Pesakit akan datang terus ke lokasi locker. Seterusnya ambil ubat yang telah disediakn dalam laci-laci locker yang telah ditentukan. (Pesakit hadir ke klinik tetapi masa disingkatkan dan mungkin lokasi locker adalah di kawasan luar klinik)

• Pandu lalu : Pesakit akan menggunakan kenderaan dan ke kaunter pandu lalu untuk mengambil ubat mengikut tarikh yang telah ditetapkan (Pesakit tidak hadir ke dalam kawasan bangunan klinik atau hospital)

• Dan lain-lain lagi bergantung kepada klinik atau hospital tersebut

Berkaitan Perkhidmatan Tambah Nilai (VAS) yang saya sebutkan di atas. Selalunya permohonan dilakukan dikaunter farmasi. Namun dalam situasi wabak ini pelbagai kaedah digunakan untuk memudahkan pesakit membuat permohonan terhadap perkhidmatan bagaimana mereka inginkan untuk mengambil bekalan ubat mereka.

Ada klinik kesihatan atau hospital yang menggunakan kaedah email, whatsapp dan panggilan telefon bagi tujuan permohonan dan memberikan detail lengkap seperti gambar preskripsi ubat dan sebagainya.

Maka memang akan ada pegawai farmasi yang bertugas untuk memproses setiap permohonan tersebut demi memastikan pesakit terima ubat especially dalam kalangan pesakit kronik.

Satu lagi golongan ahli farmasi adalah yang bertugas menjaga bekalan ubat-ubatan dan barang-barang pakai buang termasuk bekalan semua jenis PPE di klinik-klinik kesihatan mahupun di hospital. Mereka akan buat pembelian mengikut arahan perbendaharaan dan patuh kepada semua pekeliling terbaru berkaitan pengurusan kewangan dan pembelian.

Selalunya ahli farmasi yang bertugas di sini agak stress kerana pelbagai masalah yang timbul especially dalam situasi sekarang kerana ada sesetengah item yang mempunyai masalah bekalan. Pelbagai kaedah penyelesaian masalah dilakukan setiap hari demi memastikan semua bekalan mencukupi dan bersedia untuk apa jua situasi mendatang.

Begitulah serba sedikit tugas Pegawai Farmasi dan Penolong Pegawai Farmasi di sebalik kaunter farmasi. Saya percaya ada lagi tugas-tugas yang saya tidak nyatakan di sini. Namun walau apa pun tugas kami semua anggota kesihatan, semuanya ada peranan masing-masing dan saling berkerjasama dalam memastikan perkhidmatan kesihatan terbaik dapat disampaikan kepada masyarakat Malaysia dan kami bertugas dengan ikhlas dan sepenuh tenaga dalam memastikan situasi wabak yang dialami sekarang dapat kita kawal dan pesakit-pesakit sembuh daripada jangkitan COVID-19 ini.

Oh tidak lupa juga kepada semua petugas keselamatan seperti Abang Polis, Abang Askar, Abang JPAM, Abang Posmen, Abang Penguatkuasa Tempatan, dan semua Abang-Abang dalam essential services yang sedang bertugas semasa PKP ini. Sama-sama kita menjaga kesihatan dan keselamatan Malaysia dan rakyatnya

No comments:

Post a Comment

Definisi "ORANG KAYA"

👉 Tony Fernandez  Sampai sekarang kita tidak pernah tahu pun dia naik kereta apa dan tak pernah tunjuk pun duit yang dia ada. Yang kita tah...