Search This Blog

Wednesday, August 28, 2019

SALASILAH GELARAN NAMA TENGKU/ENGKU/KU/RAJA/TUAN

Umumnya ramai di antara kita semua yang mungkin tidak mengetahui kenapakah wujudnya pelbagai nama-nama gelaran ini sedangkan ianya berasal dari satu zuriat yang sama. Adakah kita semua mempercayai atau tidak bahawa salasilah raja-raja di nusantara adalah berasal dari satu zuriat yang sama bersenambungan dari salasilah Nabi Muhammad S.A.W? Apa yang kita tahu hanyalah gelaran tersebut adalah berasal dari golongan istana. Apa bezanya nama-nama gelaran ini?

Di zaman kesultanan Melayu keluarga diraja akan meletakkan prediket “Raja” pada pangkal nama anak dan cucu mereka sebagai mengenal diri dari zuriat dan baka keturunan. Contohnya penamaan “Raja Bahar” dan sebagainya. Apabila diangkat menjadi raja, barulah gelaran raja tersebut ditukar kepada gelaran “Sultan”. Dalam konteks sistem pemerintahan raja-raja Melayu di zaman dahulu kala, perlu diingatkan bahawa tidak seperti jawatan Perdana Menteri yang terdapat dalam corak sistem pemerintahan negara kita pada hari ini. Jawatan raja dan juga bendahara merupakan jawatan turun temurun keluarga sebagaimana kedudukan sultan yang menerajui pemerintahan negeri di mana layak diwarisi oleh anak dan cucunya sahaja. Dengan wujudnya jawatan bendahara yang dari zuriat raja contohnya, Bendahara Paduka Raja, Bendahara Paduka Tuan dan sebagainya maka lahirlah penamaan prediket “Tuan” pada pangkal nama sebagai mengenal diri dari jurai sesebuah keluarga yang mempunyai tradisi pensejarahan yang lama.

Selain dari itu mengikut adat istiadat kesultanan Melayu Kelantan/Pattani lama, seorang sultan dibahasakan “Tuanku”. Tuanku pula membahasakan diri “Beta” dan perkataan “Patik” digunakan bagi menggantikan diri hamba @ saya bila bercakap dengan raja-raja serta keturunan baginda menggunakan prediket “Raja” dipangkal nama dan dibahasakan sebagai Tengku @Te’ku @ Ku, sedangkan keluarga bendahara meletakkan prediket “Tuan” di pangkal nama dan dibahasakan sebagai “Engku” yang ditarifkan sebagai ‘darah separuh raja’. Cuma sejak akhir-akhir ini apabila berlaku perubahan zaman telah membuat penamaan gelaran tengku lebih teratas apabila berlakunya kewujupan jawatan sebagai contoh, Tengku Bendahara, Tengku Laksamana, Tengku Temenggung, Tengku Mahkota dan lain-lain serta yang akhir Tengku Sri Akar Raja. Hatta, Sultan Muhammad ke ke IV pun bernama Tuan Senik dengan memakai gelaran Tengku Tuan Senik. Kesimpulannya gelaran ini adalah hak milik raja bagi mengenalkan diri mereka dari zuriat bangsawan yang tidak boleh di pertikaikan lagi. Begitu juga dengan salasilah gelaran Saidina yang mana berasal dari keturunan Nabi Muhammad S.A.W. Manakala juga dengan gelaran Syeikh/Syed/Said iaitu sebutan kepada orang yang berketurunan sahabat-sahabat nabi.

PENJELASAN SALASILAH GELARAN “NIK” / “WAN” / “CHE” DAN LONG

NIK dalam erti kata lain NOTED bermaksud Yang Masyur (Terkena/Ternama). Gelaran ini berlaku dalam 3 keadaan. Pertama, ianya telah wujud lebih awal daripada zaman kesultanan Kelantan/Pattani iaitu di zaman Kerajaan Champa dengan wujudnya nama Datu Nik Musthapa. Kerajaan Champa ialah Negara Melayu yang cukup luas (iaitu hampir meliputi keseluruhan pantai timur Indochina).hilang dari peta dunia sebagaimana kehilangan pulau Singapura. Kedua, gelaran NIK dari keturunan raja-raja di Negeri Kelantan. Di mana gelaran tersebut diberikan kepada anak sekiranya bonda beliau yang bergelaran TENGKU/ENGKU/KU/RAJA/TUAN berkahwin dengan orang yang bukan berketurunan raja. Ketiga NIK yang terdiri daripada pekerja istana yang bukannya dari aliran darah diraja.

WAN pada asalnya adalah berasal dari keturunan bangsawan. Penamaan gelaran ini berlaku dalam banyak keadaan malah ianya juga telah wujud di bawah Kerajaan Champa dengan wujudnya nama Wan Bo atau Raja Bo Tri anak kepada Ali Nurul Alam (Patih Majapahit Barat yang berpusat di Kelantan) serta cucu kepada Sayyid Hussein Jamadil Kubra, tokoh terulung penyebar syiar Islam di Nusantara . Dijelaskan juga nama “Wan” ialah gelaran bagi keturunan Nabi Muhammad s.a.w. (Ahlul Bait) di kalangan warga Arab-Indonesia dan juga Malaysia, lazimnya dari zuriat Sayyid Jamaluddin Al-Hussein di Tanah Jawa. Selain “Wan”, mereka yang merupakan keturunan Nabi Muhammad SAW mendapat berbagai panggilan (gelar) penghormatan lain, seperti Syed, Sayyid, Syarif dan Habib. Para Ahlul Bait sangat dihormati pada masyarakat muslim Indonesia kerana dianggap sebagai tali pengetahuan yang murni, namun penghormatan ini sangat membuat gusar para kelompok anti-sunnah yang mengkait-kaitkan hal ini dengan bid’ah. Bagi keturunan bangsawan Melayu yang menggunakan gelaran “Wan” adalah dari keturunan Ahlul Bait, Keturunan Raja Kelantan/Pattani di zaman Cik Siti Wan Kembang dan keturunan bangsawan Melayu Kedah. Ketiga, gelaran “Wan” yang dari keturunan raja-raja di Negeri Kelantan. Di mana gelaran tersebut diberikan kepada anak sekiranya bonda beliau yang bergelaran NIK berkahwin dengan orang yang bukan berketurunan raja. Ke empat gelaran “Wan”yang diberi kepada golongan mualaf yang memeluk islam sebagai satu penghormatan dan bukan dari kalangan dari bangsawan. Selain daripada itu Wan yang terdapat di negeri lain mempunyai makna @ maksud tersendiri. Oleh kerana banyaknya keturunan “Wan” yang mempunyai maksud @ makna yang berbeza-beza membuatkan Kerabat Raja-Raja Kelantan menggugurkan penamaan gelaran ini pada anak-anak mereka.

Che atau dalam ejaan lain Cie juga telah wujud di zaman kerajaan Chempa yang bermaksud Sri atau Raja .Malah gelaran Che telah pun wujud di sana seperti nama Che Bo Nga iaitu seorang pemerintahan raja yang teragong kerana berjaya membela nasib pemerintahannya secara sendiri pada ketika itu. Di Malaysia gelaran Che juga memberi maksud tersendiri. Suatu ketika dahulu gelaran ini pernah juga berlaku kepada kerabat Raja-Raja Kelantan/Pattani di mana gelaran tersebut diberikan kepada anak sekiranya bonda beliau yang bergelaran Wan berkahwin dengan orang yang bukan berketurunan raja. Malah pernah juga berlaku penamaan gelaran Che kepada mualaf yang memeluk islam sebagai sati penghormatan. Oleh kerana banyaknya keturunan Che yang mempunyai maksud @ makna yang berbeza-beza membuatkan Kerabat Raja-Raja Kelantan menggugurkan penamaan gelaran tersebut.

LONG berasal dari perkataan “sulong” iaitu anak sulong. Sudah menjadi kebiasaan dalam masyarakat Melayu, anak sulong dipanggil “long”, ”kak long” atau “abang long”. Sudah menjadi adat di kalangan raja-raja Melayu, putera sulong mereka akan mewarisi takhta. Ada juga pendapat yang mengatakan perkataan “Long” itu berasal daripada perkataan bahasa Siam ”Luang” yang bererti “Putera”. Ini berasaskan hakikat bahawa semua anak-anak lelaki diberi pangkal nama “Long” tanpa mengira samada anak sulong atau tidak.. (Ini berbeza dengan Long Jaafar di Perak kerana adiknya ialah Ngah Ibrahim). Di Terengganu anak-anak perempuan diberi pangkal Nan @ Nang (dipercayai dari perkataan “Nae” bererti “Puteri” dalam bahasa Siam.

Definisi "ORANG KAYA"

👉 Tony Fernandez  Sampai sekarang kita tidak pernah tahu pun dia naik kereta apa dan tak pernah tunjuk pun duit yang dia ada. Yang kita tah...